photo from my lens

photo from my lens
klik picture untuk ke flickr saya

Thursday 30 June 2011

Malaysia Belum Cukup Bawa Bekalan Selesa Ke Taipei



KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia dikira tidak membawa bekalan selesa ke Taipei selepas menang tipis 2-1 keatas Taiwan pada perlawanan pertama pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Rabu malam.

Safiq Rahim dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak menjadi wira negara apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-28 dan minit ke-54.

Perlawanan timbal-balik pertemuan kedua akan berlangsung di Stadium Taipei, Taiwan pada Ahad ini (3 Julai).

Beraksi di hadapan 45,000 penonton, Taiwan terlebih dahulu mempamerkan aksi menarik dengan mengatur beberapa percubaan berbahaya seawal babak pertama bermula yang hampir mencemaskan gawang negara yang dijaga oleh Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Antara peluang terbaik skuad kendalian Lo Chih Tsung itu hadir seawal minit kedua menerusi sepakan mengelirukan pemain tengah, Chan Che Yuan yang tidak dikawal barisan pemain pertahanan yang hampir mengejutkan penonton namun bola sedikit tersasar dari pintol gol sebelah kiri Malaysia.

Satu lagi peluang yang mencemaskan hasil tendangan kencang pemain pertahanan Taiwan Lin Cheng Yi, bagaimanapun ia dapat ditangkap kemas Mohd Sharbinee Allawee, sepakan yang berpunca daripada hasil sepakan percuma yang diambil oleh pemain tengah Taiwan, Lo Chih An.

Aksi lambat panas skuad anak didik Datuk K. Rajagobal yang mula mengatur asakan demi asakan bagaimanapun membuahkan hasil gol sulung pada minit ke-28 yang berpunca daripada sepakan Abdul Hadi Yahaya yang termuntah ke kaki S. Kunanlan yang kemudiannya melorongkan bola ke belakang sebelum disudahkan oleh kapten pasukan Safiq Rahim yang tenang merembat bola dari jarak 10 meter dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Taiwan, Lin Po Cheng.

Tersentak dengan gol tersebut, Taiwan bangkit mengatur serangan namun berjaya dipatahkan oleh kekebalan barisan pertahanan negara sehingga babak pertama tamat.

Bersambung sembilan minit babak kedua, Malaysia yang mempamerkan aksi bertenaga sekali lagi membocorkan gawang Taiwan dengan menambah jaringan kedua yang ditanduk kemas oleh Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak hasil sepakan sudut yang diambil oleh Safiq Rahim, gara-gara tidak dikawal rapi oleh barisan pertahanan Taiwan.

Harimau Malaya yang ghairah membuat percubaan serangan demi serangan bagaimanapun terbolos satu gol pada minit ke-77 yang disumbat oleh pemain tengah Taiwan Chen Po Liang dari tengah kotak penalti gara-gara sikap sambil lewa yang dipamerkan barisan pertahanan dalam mengekang asakan lawan.

Bagaikan tersentak dari lamunan, skuad Harimau Malaya bangkit mencari bekalan lebih selesa dengan membuat serangan namun corak permainan Taiwan yang banyak bertahan pada hujung babak kedua tidak membuahkan gol buat pasukan negara sehinggalah wisel penamat ditiup oleh pengadil dari Thailand, Mahapab Chaiya.

Sekiranya skuad Harimau Malaya berjaya melepasi halangan Taiwan, skuad bimbingan Rajagobal itu akan menentang pula Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai.

Perlawanan timbal-balik pula dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 untuk kejohanan di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.

-- BERNAMA